Kenapa Saya Jatuh Cinta Pada Post Rock

Deria rasa muzik aku agak luas. Macam² aliran yang aku layan,tak kira sama ada keras,lembut,mendayu², membuai ke alam mimpi,aku suka. Kadangkala, jiwa kacau memberontak mahu berjoget dengan kekerasan metal. Ada juga kalanya syahdu malam memujuk aku 'tidur' dengan lenggok nada lembut. Terima kasih jutaan pada penggiat² seni di luar sana yang secara tidak sopannya memuatkan rilisan album² di laman maya.Tanpa mereka, mungkin aku terjerut dengan kekurangan dana untuk mendapatkan rilisan² ori yang memakan belanja empat hari makan nasi goreng hailam.



Dari banyak² genre muzik ini, post rock merenggut jiwa rapuh muzik aku. Mudah sangat aku terkasima dengan kesan khas yang dijana oleh mesin elektronik kecil yang dipijak², ditekan² & yang dipetik². Post rock menjamu aku dengan sajian lazat berupa petikan gitar yang dicicah dengan kesan² khas, tidak perlu sajian sisi berupa suara dari anak tekak yang kadangkala berbau.Post Rock juga tidak memerlukan aku mendengar setiap biji butiran kata dari lirik yang kadangkala terlalu sarat dengan isi terselindung,macam mahu makan ketam saja. Bukan lah semuanya yang tergolong dalam genre post rock itu tanpa hiasan vokal.



Aku bukan profesor emeritus dalam bidang muzik, bukan juga seorang lulusan bidang muzik, apatah lagi seorang penuntut sekolahan muzik yang kononnya baru 'layak' untuk mentafsir,mengulas atau mengutuk akan hasil rilisan penggiat seni muzik. Tapi aku punya jiwa halus yang mudah digeletek oleh jemari nada² yang rakus,gersang,manja dan menggoda. Dan aku percaya, ramai orang yang sespesies denganku. Kadangkala orang yang terpelajar juga tersandung batu, dek membutakan mata akalnya dengan keegoan.



Perkenalan ku dengan si cantik post rock ini bermula dari rilisan anak tempatan yang tidak semuaya diberanakkan di Malaysia. Damn Dirty Apes mengeluarkan judul A Valve State Dream yang mengasyikkan. Mereka menggelarkan muzik mereka sebagai "runut bunyi filem yang belum ditayangkan". Dari situ, aku korek di manakah inspirasi muzik mereka, dan aku berjabat salam dengan rilisan Mogwai, gargantua post rock. Susunan muzik yang tiada wujud unsur keformalan menjadi karya Mogwai. Dari situ, berkelanalah aku dalam internet mencari dan mengorek khazanah² percuma, mempertemukan aku dengan Explosions In The Sky, Godspeed You Black Emperor, Death Cab for Cutie, sebut beberapa kugiran. Setiap kugiran ada tanda 'air tangan' mereka yang tersendiri. Dan terus terang, alunan muzik post rock buat aku khayal, gambarkan diriku seorang pengkarya seni, bikin klip video. Walau aku tak punya bakat & kudrat & dana, aku punya seketul organ bernama otak yang berkuasa.


Cukup sekadar beberapa cebis suara minda. Aku letih, banyak asap, dan mahu dengar cerita dari Bangkok.

0 komentar: